Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu – kali ini dakwaan yang lebih menggemparkan daripada penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Abdullah Baginda.
Penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam hadir dalam sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini.Dalam akuan berkanunnya yang diedarkan kepada media, Balasubramaniam memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh, dengan timbalan perdana menteri.
Balasubramaniam, yang diupah Abdul Razak pada Oktober 2006, mendakwa majikannya itu pernah memberitahunya bahawa Najib memperkenalkan Altantunya kepadanya dalam sebuah pameran berlian di Singapura.
Abdul Razak, yang kini dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia itu, didakwa memberitahu sedemikian pada 14 Oktober dua tahun lalu untuk memujuknya terus bertugas dengannya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa meliwat pembantunya, mendakwa pemuda itu mempunyai hubungan rapat dengan timbalan perdana menteri dan isterinya.
Penasihat PKR mendakwa lagi Mohd Saiful Bukhari Azlan beberapa kali bertemu Rosmah Mansor, selain rapat dengan Datuk Seri Najib Razak dan pegawai khasnya Khairil Anas Yusof.
“Saiful Bukhari mempunyai hubungan yang rapat dengan Khairil Anas, Rosmah dan Najib. Beliau bertemu berulang kali dengan Khairil Anas dan Rosmah,” katanya.
“Beliau bukan pegawai peribadi saya. Beliau mempunyai hubungan yang kuat dengan Najib.”
Kelmarin presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan foto pemuda itu dengan Khairil Anas – bagaimanapun Najib semalam menafikan pembabitannya dan pegawainya itu dengan kontroversi terbaru Anwar.
Mantan timbalan perdana menteri itu berkata beliau akan mendedahkan bukti dakwaannya dalam masa terdekat.
Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya petang ini, beliau menjelaskan kedudukan Mohd Saiful dalam barisan pegawainya di pejabatnya di Seksyen 16, Petaling Jaya.
“Ketua staf di ibu pejabat PKR ialah Ibrahim Yaakob. Tiga pegawai saya iaitu Nik Nazmi (Nik Ahmad), Sim (Tze Tsin) dan Nurul Izzah (Anwar) bertanding dalam pilihanraya umum lalu.
“Nik Nazmi ambil seorang staf iaitu Rahimi dan Rahimi pula mengambil Saiful sebagai pekerja sukarela membantunya dan Nurul Izzah.
“Beliau tidak ada pendapatan tetap dan bukan pegawai tetap,” kata Anwar dengan nada suara yang tegas.
Anwar sebelumnya membuat laporan polis terhadap ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Penasihat PKR berada setengah jam di ibu pejabat polis kontinjen Selangor, Shah Alam untuk tujuan itu mulai jam 2.50 petang, diiringi peguamnya Sankara Nair.
Satu ceramah penjelasan isu menggemparkan ini akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 8.30 malam ini.
Menjawab soalan wartawan, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, mereka memilih dakwaan liwat kerana isu itu cara paling baik untuk cuba merosakkan imejnya sebagai seorang Islam.
Dalam sidang media tersebut Anwar juga terus mengulangi dakwaannya bahawa wujud konspirasi kali kedua terhadap dirinya.
“Saya katakan bahawa ada elemen konspirasi di peringkat atas dan kita akan dedahkan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Mengulas pertandingannya dalam satu pilihanraya kecil, Anwar berkata beliau masih dalam perundingan dengan PAS dan DAP.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau memilih kedutaan Turki kerana mereka boleh memberi keselamatan kepada beliau.
Beliau juga berkata, beliau telah menjelaskan perkara ini kepada pemimpin-pemimpin PAS dan DAP termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
“Mereka mahu menyerang semua sekali dalam Pakatan Rakyat,” katanya lagi.
Anwar berkata, peguamnya telah menghantar tiga surat kepada peguam negara dan ketua polis negara menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan, tetapi sehingga petang ini belum ada maklum balas.
Selain Wan Azizah, turut hadir timbalan presiden Dr Syed Husin Ali, naib presiden Mustaffa Kamil Ayub dan ketua angkatan muda Shamsul Iskandar Md Akin.
Pemimpin PAS yang berada di sidang media itu termasuklah ketua penerangannya Mahfuz Omar dan ketua Pemuda, Salahuddin Ayub.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau telah menemui perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen bagi membincangkan keselamatan Anwar kira-kira jam 4 petang tadi.
-malaysiakini
Wan Azizah Mahu jumpa Abdullah
Jaminan keselamatan DSAI.
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) – Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kes yang membabitkan suaminya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Wan Azizah mewakili pemimpin Pakatan Rakyat menghantar surat rasmi untuk memohon pertemuan dengan Abdullah berhubung soal keselamatan dan pertuduhan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Surat tersebut telah diterima oleh Pejabat Perdana Menteri pada jam 3:15 petang tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail menegaskan, Pakatan Rakyat memerlukan PM memberikan jaminan tersebut kerana berdasarkan kes Anwar 1998, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipukul polis pada malam beliau ditangkap.
“Yang memukulnya ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor, sehingga menyebabkan kecederaan yang membahayakan nyawa Anwar, oleh kerana itu jika kita tidak jamin perkara yang sama boleh berulang.
“Oleh kerana itu kami yang mendesak beliau untuk berlindung, beliau memang tidak mahu (ke Kedutaan Turki), namun pada kami, nyawa beliau terancam, itu yang lebih bahaya,” tegasnya.
Bagi Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Ketua Umum KeADILan itu tidak pernah meminta perlindungan politik atau asylum daripada Kerajaan Turki.
Katanya, yang penting kerajaan memastikan keselamatan Anwar dan anggota keluarganya yang sentiasa terdedah kepada ancaman.
“Kami masih belum boleh mempercayai polis dan sistem kehakiman Malaysia, pengalaman kami dengan kedua-dua institusi ini amat buruk.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah orang yang terbabit dalam kes 1998, adakah mereka (Umno/BN) mahu kami serahkan Anwar dan mempercayainya bulat-bulat?,” Soal Azmin.
Manakala bagi Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dakwaan terbaru terhadap Anwar adalah semata-mata merupakan usaha pihak tertentu untuk mengalihkan kes Altantuya.
“Kita boleh lihat satu dua hari ini, orang seolah-olah lupa kes Altantuya, sedangkan kes itu amat besar, mereka berjaya alihkan isu,” ujarnya.
Katanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sudah membuat kenyataan yang jelas semalam, bahawa kes Anwar semata-mata merupakan satu lagi teori kospirasi yang bertujuan merencatkan usaha Anwar membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan beliau terlibat dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar Ibrahim biarpun pengadu (Saiful Bukhari Azlan) bergambar dengan Pegawai Khasnya (Khairil Anas Yusof).
Berikut disiarkan kenyataan rasmi Pakatan Rakyat hari ini
KENYATAAN AKHBAR PAKATAN RAKYAT DAKWAAN TERHADAP ANWAR IBRAHIM – RAKYAT JANGAN TERPEDAYA
Pakatan Rakyat percaya bahawa laporan polis yang dibuat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya beliau meliwat seorang pembantunya tidak lebih daripada hanya pengulangan pertuduhan tahun 1998 bagi menghancurkan karier politik beliau. Ini dilakukan sebagai tindakbalas kepada kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat dalam masa terdekat.
Skandal 1998 telah memperlihatkan bagaimana seluruh institusi negara dimanipulasi bagi kepentingan pihak tertentu yang akhirnya dibuktikan satu demi satu pada hari ini. Kredibiliti kerajaan pusat akan hilang di mata rakyat, keyakinan pelabur akan terjejas dan nama Malaysia di mata dunia akan tercemar. Proses membangunkan semula negara akan terganggu dan memakan masa.
Oleh itu kami menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil dan telus terhadap dakwaan ini.
Oleh kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Dato� Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998, kami menuntut agar suatu badan bebas khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terbaru ini.
Dato’ Seri Anwar juga percaya terdapat cubaan yang mengancam nyawa beliau sehingga memaksa beliau meminta perlindungan di Kedutaan negara luar.
Pihak berkuasa perlu mengambil segala tindakan yang sepatutnya demi menjamin keselamatan beliau dan memberikan peluang sewajarnya untuk beliau mempertahankan diri bagi dakwaan kali ini.
Dokongan Terhadap Gabungan PROTES
Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak hilang fokus terhadap permasalahan sebenar yang memberikan kesan kepada kehidupan harian iaitu kenaikan harga minyak yang telah dibuat tanpa kewajaran.
Sekali lagi Pakatan Rakyat mengulangi sokongan penuh kepada Gabungan Protes yang berkempen mendesak penurunan harga minyak sebagai langkah utama untuk mengurangkan beban rakyat. Pakatan Rakyat akan turut hadir bersama Gabungan Protes pada 6 Julai 2008 di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memberi sokongan penuh kepada rakyat.
YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KeADILan
YB Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS
YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP
-harakahdaily
KOTA BHARU, 30 Jun (Hrkh) Rungutan peniaga mengenai kadar bayaran menduduki Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh agak mahal akhirnya terelai apabila kerajaan negeri memberi subsidi sehingga 50 peratus.
Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan Kelantan terhadap rungutan peniaga yang mana sebelum ini mereka menganggap kadar bayaran yang dikenakan pihak pemaju mahal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri memberi potongan antara 30 hingga 50 peratus kepada peniaga terbabit.
Ekoran itu subsidi diberi kepada 855 peniaga yang akan menduduki tapak baru perniagaan yang jauh lebih selesa mulai esok. Bagi tujuan itu kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM1.2juta untuk dibayar kepada pemaju,? katanya di sini.
Beliau diminta mengulas berhubung bantahan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sehingga RM2,500 sebagai bayaran menyediakan pelbagai kemudahan termasuk payung besar.
Takiyuddin yang juga Adun Bunut Payong berkata, bagi peniaga yang dikenakan bayaran RM2,500 subsidi sebanyak 30 peratus diberi, di mana mereka mengusahakan perniagaan gerai makanan, runcit dan pakaian.
Katanya, bayaran yang dikenakan hanya sekali sahaja iaitu bagi menampung perbelanjaan menyediakan peralatan oleh pihak pemaju.
?Di sini saya nak jelaskan, tiada bayaran kali kedua kepada peniaga yang berniaga di situ, cukup hanya sekali bayaran sahaja kerana kerajaan negeri memberi subsidi. Jadi peniaga tidak perlu risau,? ujarnya.
Beliau juga berkata, peraturan lebih kemas dikenakan bagi memastikan tempat perniagaan baru itu kelihatan cantik, bersih dan menarik memandangkan ia menjadi tumpuan pelancong.
Sebelum ini peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh berniaga di tapak sementara yang kurang selesa tidak jauh dari Pasar Bersepadu yang baru siap dibina.
Baru-baru ini peniaga terlibat mengadakan demontrasi aman sebagai membantah kadar bayaran yang dikenakan pemaju agak mahal. Ekoran itu kerajaan negeri terpaksa campur tangan.
-Salmah Mat Husain
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar dari rumah rasmi duta Turki di Kuala Lumpur, tempat beliau berlindung sejak pagi Ahad lalu, dan menuju ke rumahnya.
Anwar berjalan keluar dari rumah itu, yang terletak tidak jauh dari bangunan kedutaan, dan memasuki kenderaan kira-kira jam 6.45 petang ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian bercakap ringkas kepada kumpulan kira-kira 50 wartawan di luar pagar rumah rasmi tersebut (foto).
Beliau berkata jaminan keselamatan yang diberikan oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan menteri luar Datuk Seri Dr Rais Yatim mendorong beliau meninggalkan rumah duta berkenaan.
“Sekarang saya ambil keputusan keluar (dari kedutaan) kerana saya diberikan jaminan. Saya akan (lihat) apa yang akan berlaku,” katanya.
Beliau mengulangi keraguannya terhadap ketua polis negara dan peguam negara seperti kenyataan awalnya semalam.
“Yang saya bimbang ini adalah kepimpinan polis yang saya pertikaikan kerana saya ada bukti betapa Tan Sri Musa Hassan dan (Tan Sri Abdul) Gani Patail terlibat dalam perencanaan jahat, merekayasa atau memberikan fakta palsu dalam kes-kes (perbicaraan saya) terdahulu,” tambahnya.
“Saya tentu akan memberikan kerjasama dalam kes penyiasatan. Tetapi penyiasatan apa?
“Penyiasatan yang berniat jahat, merekayasa cerita dan fakta seperti mana pernah berlaku dulu, bagaimana hakim, bagaimana polis yang menyiasat, bagaimana pendakwaraya dan Jabatan Peguam Negara dan peguam negara – ini masalahnya.”
Anwar menambah, dakwaan liwat terhadapnya susulan rancangannya untuk mengumumkan akan bertanding pilihanraya kecil, minggu ini.
“Kita hampir menang. Minggu ini saya sepatutnya mengumumkan keputusan saya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil,” katanya dari celah bumbung kereta.
Katanya, beliau juga akan mengumumkan penyertaan empat ahli parlimen komponen BN, termasuk dua dari Umno, bersama pembangkang minggu ini.
Sebelum itu seorang peguamnya Sankara Nair tiba di kedutaan tersebut jam 6.15 petang.
Manakala isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga presiden PKR tiba kira-kira jam 6.40 tadi dan naib presidennya Azmin Ali sampai lima minit sebelumnya.
Bercakap ringkas kepada media, Azmin berkata pihaknya berpuas hati dengan jaminan keselamatan kerajaan.
Malaysiakini difahamkan beliau pulang ke rumahnya di Bukit Segambut sebelum mengadakan sidang akhbar jam 9 malam di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.
Sementara itu, penyokong Anwar juga diminta berkumpul di tempat yang sama malam ini untuk mendengar amanat pemimpin tersebut.
Kira-kira 250 penyokong Anwar dan wartawan menunggu-nunggu sidang media. Bagaimanapun menurut timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali, ia telah dibatalkan.
Para penyokong Anwar yang mengharapkan maklumat daripada mulutnya sendiri perlahan-lahan beredar dari depan pejabat itu dengan berat hati.
Risalah sehelai yang memuatkan berita terkini Malaysiakini dan Malaysia Today tentang perkembangan kes Anwar diedarkan sehingga para penyokong berebut-rebut mendapatkannya.
Teriakan “reformasi” dan takbir kedengaran selepas pengumuman pembatalan itu bagi kali kedua oleh timbalan setiausaha agung Johnson Chong menjelang 10 malam.
Menurutnya, jika ada sidang media, ia akan dimaklumkan esok.
Bagaimanapun lebih kurang 150 penyokong masih enggan beredar sehinggalah pengumuman rasmi dibuat oleh ibu pejabat parti.
Anwar dimaklumkan sedang berbincang dengan kumpulan peguamnya malam di suatu tempat yang tidak dinyatakan.
- Abdul Rahim Sabri
Ancaman Bunuh Anwar Ibrahim?
Anwar tidak dijemput duta Turki : RAIS
Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berlindung di kediaman Duta Turki di Kuala Lumpur, tidak pernah dijemput ke rumah diplomat tersebut dan ketua umum PKR itu juga tidak memohon perlindungan politik dari kerajaan Turki, kata Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim.
Rais berkata, duta itu menjelaskan Anwar datang ke rumahnya bukan kerana diundang dan beliau mahu penasihat Parti Keadilan Rakyat itu segera meninggalkan premis itu.
“Mereka bimbang kehadiran ini memberi isyarat yang tak betul. Kerajaan Malaysia terima penjelasan ini. Anwar berada di rumah duta itu bukan bagi mendapatkan perlindungan politik tetapi sebagai tetamu.
“Tempoh belum sampai 24 jam. Jika dia berada di situ lebih lama, kita harus ambil pendirian lain. Isu perlindungan politik tidak timbul,” kata Rais selepas menemui Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener, di Wisma Putra hari ini, demikian menurut laporan Bernama
Sabtu lalu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, seorang pembantu Anwar, membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh mantan timbalan perdana menteri itu di sebuah kondominium di Damansara
Heights pada 26 Jun lalu.
Ancaman Bunuh
Pada awal pagi Ahad, Anwar berlindung di kediaman Duta Turki itu dengan alasan bimbang mengenai keselamatan kerana mendakwa mendapat ancaman bunuh awal minggu lalu.
Dalam blognya semalam, Anwar menyatakan beliau mendapat perlindungan di Kedutaan Turki setelah dijemput oleh duta negara itu.
Hormati undang-undang M’sia
Rais berkata Anwar berada di situ “atas dasar perikemanusiaan” tetapi “sampai bila, saya tak tahu.”
Katanya Anwar tidak perlu bertindak sedemikian kerana beliau bukannya hendak ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Ordinan Darurat.
Rais berkata beliau telah memberitahu Duta Turki mengenai pendirian kerajaan Malaysia bahawa undang-undang negara ini perlu dihormati.
“Jika apa yang dilakukan oleh kedutaan ini dilakukan juga oleh kedutaan lain, banyak masalah akan timbul.
“Jika laporan dibuat terhadap seseorang dan orang itu enggan menghadapi tuduhan atau enggan membiarkan polis menyiasatnya, dia akan lari ke mana-mana kedutaan. Ini akan menjadikan undang-undang kita tidak berkesan,” katanya.
Rais berkata Anwar menggunakan Kedutaan Turki untuk mendapatkan perhatian dan simpati masyarakat antarabangsa kerana soal ancaman kepada keselamatan dirinya tidak timbul sama sekali.
“Duta itu mahu dia meninggalkan kawasan itu secepat mungkin kerana bimbang kehadirannya itu memberikan isyarat yang salah. Sehingga ini, polis tidak dibenarkan masuk untuk mendapatkan keterangan Anwar.
Jamin beri kerjasama
“Kawasan kedutaan adalah kawasan berkecuali dan kita menghormatinya. Kita akan tunggu sehingga dia keluar dalam sehari dua ini,” katanya.
Ini merupakan pertama kali dalam sejarah negara ini seorang pemimpin politik tempatan mendapatkan perlindungan di sebuah kedutaan atas alasan keselamatan
dirinya.
Rais berkata Duta Turki itu memberi jaminan tidak akan membenarkan Anwar berada di kediamannya untuk satu tempoh yang lama.
Rais berkata Malaysia tidak akan menghantar sebarang nota bantahan kepada Ankara berhubung kejadian itu.
Katanya Duta Turki memberi jaminan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan perkara itu.
Rais berharap Anwar akan keluar dari kedutaan itu bagi mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang dibuat dalam laporan polis itu.
“Dia tak seharusnya menggunakan kedutaan untuk tujuan peribadinya,” kata Rais.
-Malaysiakini
Anwar Saman Saiful
30 Jun 2008, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung dengan dakwaan liwat.
Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Anwar juga mendakwa, laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan terhadapnya, adalah satu penyalahgunaan proses undang-undang.
Sabtu lalu, Saiful, 23, membuat laporan polis, mendakwa Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium mewah di Damansara.
Saman tersebut difailkan hari ini oleh peguam Anwar. Mantan timbalan perdana menteri itu kini berlindung di Kedutaan Turki selepas mendakwa nyawanya dalam bahaya.
Barisan peguamnya, yang diketuai oleh Ranjit Singh (kiri), berkata saman tersebut difail untuk membersihkan nama Anwar di mahkamah.
Naib presiden PKR dan peguam S Sivarasa, yang bercakap bagi pihak Anwar, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah meminta saman itu didengar secepat mungkin.
“Seperti yang diarahkan oleh Anwar, kami telah memfailkan saman tersebut dan memohon supaya ianya didengar secepat mungkin, kalau boleh dalam tahun ini juga,” kata Sivarasa.
Ranjit kemudiannya menambah, permohonan supaya saman tersebut didengar tahun ini juga, dibuat atas alasan ianya merupakan perkara yang membabitkan kepentingan awam.
Menjelas lanjut mengenai saman tersebut, Sivarasa berkata, laporan polis yang dibuat oleh Saiful jelas merupakan satu penyalahgunaan proses undang-undang kerana dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali.
Beliau juga berkata, dakwaan yang dibuat oleh Saiful itu bermotifkan politik dan mempunyai niat buruk untuk mencemarkan reputasi Anwar.
Anwar katanya, sedia mencabar laporan yang dibuat oleh Saiful bagi mempertahankan reputasi politiknya.
Foto Saiful dengan pembantu Najib
Sivarasa juga mendakwa, isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mempunyai bukti dalam bentuk sekeping foto yang menunjukkan Saiful bergambar dengan seorang pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Najib di Putrajaya.
Dalam satu sidang akhbar hari ini, Najib menafikan terbabit dalam sebarang konspirasi politik untuk mencemarkan karier politik Anwar.
Katanya, foto mereka berdua itu dirakamkan ketika Saiful datang ke pejabat pegawai khasnya itu untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajarannya.
Ditanya apakah tindakan PKR selanjutnya, Sivarasa berkata, Anwar sedang menimbang untuk membuat laporan polis terhadap Saiful.
Beliau berkata, pihaknya sedang menimbang untuk membuat laporan polis itu berasaskan kepada bukti yang ada dan pihak media akan dimaklumkan mengenainya.
Sementara itu, Sivarasa juga membuat dakwaan terhadap Peguam Negara Tan (AG) Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan.
Beliau mendakwa, pihaknya menerima maklumat bahawa AG, yang mengetuai pihak pendakwaan, dan KPN, yang merupakan pegawai penyiasat, dalam kes perbicaraan kes liwat terhadap Anwar, telah memainkan peranan dalam mereka bukti.
Bendahari PKR, William Leong berkata, mereka telah menerima maklumat itu dari “saksi-saksi yang kini berani tampil ke hadapan selepas tsunami politik 8 Mac lalu”.
Sementara itu, dalam samannya itu, Anwar berkata, Saiful telah bertindak dengan niat jahat dan membuat laporan polis dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.
“Defenden (Saiful) tahu bahawa tidak ada kejadian liwat berlaku antara dirinya dengan plantif (Anwar) dan dakwaannya mengenai liwat itu adalah palsu, tetapi dia masih membuat laporan polis,” kata Anwar.
Tambahnya, Saiful juga tahu bahawa dakwaannya dalam laporan polis itu akan mendapatkan laporan media yang luas di dalam dan luar negara.
Anwar berkata, reputasinya telah tercemar dengan teruknya dan beliau juga tertekan dan malu akibat laporan polis tersebut.
Anwar juga berkata, beliau tidak pernah terbabit dengan sebarang perbuatan liwat dengan Saiful.
-malaysiakini





























Komen dari readers